Jan 18, 2011

alquran dan teori evolusi

Penemuan hasil kajian saintis dalam pelbagai bidang menemukan kebenaran ayat al-Quran berkaitan kejadian alam dan kejadian. Mereka menerima kenyataan al-Quran datangnya daripada Allah, yang mencipta alam ini. Justeru, apa yang terkandung di dalam al-Quran adalah tepat.

Namun, masih ada golongan yang percayakan mengenai teori evolusi. Teori evolusi menjelaskan apa yang ada hari ini berbeza pada masa lalu. Perubahan secara evolusi (perlahan atau beransur-ansur) mengubah apa yang asal kepada satu bentuk lain.

Tidak terkecuali melalui proses evolusi ialah manusia. Lebih mudah dikatakan bahawa manusia asalnya bukan seperti manusia hari ini. Itulah yang dipercayai oleh golongan yang mengagungkan teori evolusi.

Setiap Muslim mesti mempercayai manusia pertama dicipta ialah Nabi Adam. Manusia bukan terhasil melalui proses evolusi daripada makhluk lain yang bertukar menjadi manusia seperti sekarang.

Adam dicipta daripada tanah liat seperti firman Allah dalam surah al-Hijr, ayat 26 bermaksud: Kami menjadikan manusia itu daripada tanah liat hitam kering, daripada tanah hitam yang berubah baunya.

Manakala sabda Rasulullah pula bermaksud: Kamu semua adalah daripada anak Adam dan Adam daripada tanah. Manusia itu daripada anak Adam dan Allah mencipta Adam daripada tanah. (Hadis riwayat Abu Daud).

Penciptaan Adam dalam keadaan sempurna, yang menjadi bapa kepada seluruh manusia daripada mula hingga ke hari kiamat. Adam dilantik sebagai khalifah di muka bumi dan nabi pertama yang mampu menguruskan kehidupan dan menimba ilmu pengetahuan.

Allah membezakan penciptaan manusia berbanding makhluk lain. Manusia diciptakan dengan kelebihan akal dan nafsu.

Firman Allah bermaksud: Sesungguhnya Kami menciptakan manusia dalam bentuk sebaik-baiknya. (Surah at-Tin, ayat 4).

Oleh itu tidak tepat jika mempercayai bahawa teori evolusi mengenai asal kejadian manusia. Pembuktian dalam hal-hal lain berkaitan evolusi tidak boleh dijadikan bukti asal kejadian manusia.

Teori evolusi menggambarkan bahawa kejadian manusia berasal daripada beruk atau kera besar. Ketika melalui evolusi sebagai manusia purba, peradaban manusia didakwa belum sempurna. Hidup secara rakus ala alam haiwan, terikut-ikut cara hidup sebelum itu.

Berdasarkan teori evolusi, jika Adam dianggap manusia pertama yang sempurna, maknanya Adam dilahirkan oleh generasi beruk sebelum itu. Ini jauh sekali daripada apa yang dijelaskan oleh Allah Adam (manusia) dicipta daripada tanah.

Kadar evolusi manusia juga didakwa berbeza-beza mengikut keturunan berdasarkan warna kulit. Menurut fahaman Darwinisme (kepercayaan terhadap teori evolusi), bangsa kulit putih lebih tinggi dari segi evolusinya daripada orang berkulit hitam.

Inilah sebab dijadikan alasan mengapa kaum kulit putih lebih ke hadapan cara pemikiran dan gaya hidup berbanding kulit hitam. Contohnya, bangsa yang kulitnya hitam pekat, dianggap lebih dekat dengan keturunan orang hutan.

Fahaman inilah sedikit sebanyak mempengaruhi orang kulit putih menjadikan orang kulit hitam sebagai hamba abdi. Mereka berasa lebih mulia berbanding orang kulit hitam. Dalam keadaan lebih hina, orang kulit putih mendakwa orang kulit hitam masih layak dilayan seperti haiwan kerana belum berevolusi sepenuhnya menjadi manusia sempurna.

Sedangkan sebenarnya, Allah mencipta manusia berlainan bangsa dan warna kulit adalah untuk manusia saling kenal mengenali dan berkasih sayang. Manakala penilaian Allah terhadap manusia adalah berdasarkan kepada takwa.

Teori evolusi asalnya turut menyandarkan kepada alasan bahawa perbezaan genetik amat kecil antara manusia dan cimpanzi. Cimpanzi dianggap keturunan beruk yang memasuki evolusi terakhir sebelum memasuki fasa manusia purba. Penyokong teori evolusi mendakwa 99 peratus genetik manusia menyamai genetik cimpanzi.

Teori evolusi berasaskan genetik ini pada mulanya sukar dipatahkan oleh orang Islam memandangkan ahli sains Islam tidak mempunyai kemahiran tinggi tentang genetik biarpun ilmu genetik mulanya diasaskan oleh orang Islam. Pun hakikatnya, orang Islam tidak pernah dipesong oleh teori evolusi, melainkan sedikit bilangannya disebabkan kelemahan iman.

Pembohongan kaitan genetik terbongkar apabila sainstis bukan Islam yang membuat kajian mengenai genetik untuk menyokong teori evolusi menemui sebaliknya. Persamaan antara manusia dan cimpanzi dari segi genetik sebenarnya hanya sekitar 95 peratus

Kita menanti lahir ahli sains Islam yang dapat menyangkal sepanuhnya teori evolusi. Sekarang ini kita menggunakan uji kaji dijalankan ahli sains bukan Islam. Mungkin ada sesuatu yang mereka rahsiakan.

Menurut apa difirmankan Allah dalam al-Quran, ada empat cara manusia dicipta. Selain Adam dicipta daripada tanah, Hawa pula dicipta daripada tulang rusuk Adam. Nabi Isa dilahirkan tanpa bapa. Sedangkan manusia lain dicipta melalui proses biasa memerlukan cantuman mani dalam rahim.

Individu Muslim tidak boleh sama sekali menerima pakai teori evolusi mengenai kejadian manusia kerana dalam al-Quran menjelaskan keturunan manusia berasal daripada Adam. Kandungan al-Quran tidak harus diragui. Mempercayai kepada al-Quran (percaya kepada kitab) adalah termasuk Rukun Iman.

Allah tidak melarang kita mengkaji kejadian alam. Diharapkan kajian yang dilakukan akan memperkuatkan tanda keimanan dan mengakui kebesaran Allah. Semakin banyak yang dikaji, semakin menemukan kehebatan ciptaan Allah.

Malangnya, bagi pengkaji kafir, semakin banyak dikaji, semakin terasa keangkuhan. Mereka bukan tidak menemui kebenaran dalam kajian, tetapi sengaja memesongkan ilmu yang diperoleh. Pengkaji kafir sengaja menafikan kebenaran kandungan al-Quran yang banyak menyebut mengenai kejadian alam.

Hampir semua tokoh komunis dan pengikutnya mempercayai mengenai teori evolusi kejadian manusia. Ini bersesuaian dengan keyakinan mereka bahawa tidak ada pencipta manusia. Alam ini terjadi sendiri melalui proses evolusi sejak beribu jutaan tahun lalu. Fahaman komunis menolak kenyataan adanya Maha Pencipta alam ini.

Proses evolusi mungkin sesuai untuk membincangkan kejadian makhluk lain. Itupun hanya satu andaian. Hanya Allah mengetahui kejadian alam ini dan seluruh isinya, bermula ia dicipta dan apa yang akan berlaku seterusnya. Allah Maha Pencipta.

No comments:

Post a Comment

terima kasih