Jan 18, 2011

sinarharian; KMK pamer al-Quran tulisan tangan terpanjang di dunia

SHAH ALAM - Al-Quran dipercayai terpanjang di dunia adalah antara tarikan utama yang akan dipaparkan menerusi Pameran Kebudayaan dan Kesenian Islam Masyarakat Asia Tengah yang berlangsung di ruang legar Kompleks Kumpulan Media Karangkraf (KMK), di sini, sejak semalam hingga 30 Januari ini.

Timbalan Pengarah Urusan KMK, Muhd Nasir Hamzah berkata, al-Quran sepanjang 208 meter dan lebar 1.15 meter itu berasal dari China dan ia dimiliki kerajaan Kelantan.

Al-Quran ini ditulis tangan oleh Yousufu Xu Jun dari China dan mengambil masa dua tahun untuk disiapkan.

“Saya berharap pengunjung yang hadir ke pameran ini dapat menghayati dan mendalami perkara tersurat yang terdapat di dalam al-Quran tersebut.

“Secara tidak langsung, ia turut membina kemajuan dan tamadun, di samping mengekalkan identiti bangsa kita,” katanya kepada Sinar Harian.

Muhd Nasir berkata, pameran itu juga memberi peluang kepada pengunjung menghayati serta menguasai seni penulisan al-Quran atau seni khat dengan baik.

Pameran yang berlangsung dari 11 pagi hingga 9 malam juga menampilkan lima al-Quran milik koleksi peribadi Muhd Nasir.

Pameran tersebut membawa lebih 50 hasil seni, termasuk daripada pelukis Uzbekistan.

No comments:

Post a Comment

terima kasih